You are currently browsing the tag archive for the ‘tamar jalis’ tag.

Saya sudah lupa bila Siri Bercakap Dengan Jin mula-mula diterbitkan sebagai siri seram tetap didalam majalah Variasari. Mungkin salah satu caranya ialah untuk melihat bila terbitan pertama jilid pertama siri ini dibukukan. Namun jika saya ingat-ingatkan semula, jilid pertama buku siri ini merupakan sebuah buku yang agak tebal dan kalau tidak silap memuatkan lebih 40 buah siri. Ilustrasi muka depan dan halaman-halaman didalam buku ini agak baik berbanding dengan mutu lukisan dalam terbitan-terbitan yang lebih baru.

Siri ini juga diterbitkan satu siri setiap bulan majalah Variasari diterbitkan, maka boleh lah saya katakan projek saya sekarang sudah ada bahan yang pernah diterbitkan di majalah Variasari yang mengambil masa selama hampir 4 tahun. Satu masa yang agak panjang jika difikir-fikirkan.

Grup peminat siri ini pada ketika nota ini ditulis telahpun ada sebanyak 28 siri. Dengan persetujuan pengendali laman web tersebut yang juga merupakan peminat siri ini, kita akan memuat naik siri-siri ini sedikit demi sedikit, mungkin satu siri seminggu supaya peminat dan ahli grup akan dapat membaca dan menikmati penulisan Tamar Jalis secara beransur-ansur. Dengan cara ini akan memastikan grup sentiasa segar dengan bahan baru dan juga dapat memberi peluang kepada ahli-ahli yang punya siri ini untuk mengimbas dan menaip semula siri-siri yang meraka ada dan memuat naik siri-siri tersebut bersambung-sambung sehinggalah siap.

Saya mendoakan usaha ini akan mengumpulkan ramai ahli dan peminat supaya berkongsi siri-siri yang mereka ada. Pada pendapat saya usaha untuk mengimbas dan menaip semula siri ini dalam bentuk digital bukanlah usaha sukarela yang dibuat untuk menidakkan hak penulis atau penerbit. Kami sebagai peminat tegar siri ini merasakan sukar untuk membeli dan mendapatkan siri ini di kedai-kedai. Alangkah baiknya jika penerbit siri ini, Variapop Group, dapat menerbitkan semula kesemua siri ini, maka tidak lah perlu kami cuba mengumpulkan siri-siri ini untuk kami berkongsi membacanya.

Kepada pengunjung laman web ini yang ingin membaca siri-siri yang telah kami usahakan, disarankan menjadi ahli grup peminat yang saya katakan tadi. Ada beberapa syarat untuk menjadi ahli, yang paling penting sekali ialah berjanji untuk tidak menggunakan bahan siri-siri yang ada di laman web grup untuk tujuan perniagaan, dengan menjual siri-siri ini dalam bentuk terbitan atau pdf. Dan jika mengambil bahan-bahan hendaklah untuk tujuan peribadi dan jika diterbitkan semula ke laman web sendiri (facebook, myspace, etc.), hendaklah memberikan kredit yang perlu. Silalah email kepada saya jika anda ingin menjadi ahli grup ini.

Kami sedar ada seakan dilema mengenai membuat syarat untuk ahli, sedangkan usaha kami mengimbas, menaip semula dan menerbit bahan ke laman web grup bercanggah dengan tatasusila hakcipta penulisan Tamar Jalis selaku tuanpunya yang berhak. Kami tidak bermaksud untuk tidak akur dengan undang-undang hakcipta yang melindungi bahan yang Tamar Jalis tulis, malahan untuk menjadi ahli grup dan membaca siri-siri ini tidak memerlukan yuran atau bayaran. Syarat-syarat menjadi ahli yang kami letakkan pun sebagai salah satu cara untuk membendung ahli dari menggunakan bahan-bahan untuk kepentingan sendiri.

Buku-buku siri ini sudah pupus dari kedai-kedai dan toko buku, samada yang terkemuka, di tepi-tepi jalan mahupun kedai menjual buku terpakai. Saya secara peribadi berpendapat jika penerbit siri ini menerbitkan semula siri ini dalam bentuk buku dalam masa terdekat, saya bersedia untuk tidak lagi mengusahakan projek ini dan terus menyokong laman web peminat Tamar Jalis dalam wadah yang berbeza.

Namun itu hanyalah pendapat saya.

Sehingga ke hari ini, sudah cukup 46 siri telah saya imbas dan sebanyak 42 siri telah saya olah dan buat pembetulan. 4 siri terakhir dalam simpanan saya ini akan saya siapkan dalam masa 2-3 hari sahaja kerana kerja-kerja ini sudah ada 2 orang penolong, dan pula semakin lama kita bekerja dan membuat olahan dan pembetulan, kita akan jadi lebih cekap.

Dalam siri-siri yang terakhir ini diceritakan mengenai Saadun Juling dan buaya-buayanya, skandalnya di kampung dan bagaimana orang-orang kampung terpaksa hidup dalam ketakutan kerana Saadun boleh mengawal buayanya. Tetapi adat berkawan, kita mesti memberi bila kita mengambil. Jika lazimnya asyik-asyik mengambil, kawan boleh jadi lawan. Begitu juga dengan Saadun, kerana terlalu banyak menggunakan buaya untuk memenuhi maksud hatinya, satu hari buaya juga yang membinasakan dirinya.

Selepas Siri ke-46, saya akan mengimbas siri-siri dari Buku ke-8 Siri 108 dengan judul Nisan Bergerak dimana Tamar Jalis dan datuknya menolong Mat Prai. Siri-siri 47 hingga 107 tidak saya punyai lagi, dan sedang mengharapkan keikhlasan dan pertolongan orang lain untuk mengisinya.

Kepada peminat yang ingin membaca siri-siri SBDJ, saya telah meletakkan bahan-bahannya ke satu laman web khas yang berahlikan peminat-peminat seperti saya. Keahliannya percuma dan tidak perlu bayar satu sen pun. Cuma patuh dengan syaratnya sudah mencukupi iaitu, segala bahan yang ada bukan untuk dijual. Kalau ingin diambil bahannya mesti untuk kegunaan sendiri, dan aklau ingin dipaparkan ke blog, myspace, facebook atau lain-lain media mestilah mengunkapkan sumber asal. Jika perlukan maklumat lanjut mengenai laman web khas ini, sialah email kepada saya.

Setelah saya fikir-fikirkan dan dalami semasak-masaknya, akhirnya saya membuat keputusan untuk berkongsi hasil usaha saya yang tidak seberapa ini dengan orang lain. Saya fikir, jika saya bermurah hati kepada orang yang tidak saya kenali secara lahir, maka usaha saya ini akan mendapat balasan yang setimpal dengannya dalam bentuk-bentuk lain.

Seperti yang telah saya tulis sebelum ini, usaha sebegini akan jadi terbantut jika saya tidak dapat bahan-bahan yang saya perlukan. Bahan-bahan yang saya maksudkan ialah beberapa bab dalam Siri Bercakap Dengan Jin yang saya tidak punyai. Siri-siri yang saya punyai dan sedang saya usahakan semacam susunan gigi seorang tua yang rongak. Bergigi, kemudian kosong, kemudian berisi kembali.

Semacam gigi orang tua yang rongak, sudah tentu jika menjamah makanan yang lazat tidak selazat memakannya seperti seorang muda yang penuh susunan giginya. Sama lah juga dengan membaca sebuah novel yang mengikut turutan bersiri – tidak sempurna jalan ceritanya jika terpaksa melompat disana-sini.

Pengunjung budiman yang ingin membaca siri-siri SBDJ ini sudah ada persiaran yang khusus. Silalah hubungi saya di tamarjalis(at)gmail.com  Jangan lupa gantikan (at) menjadi @. Jangan khuatir, pengunjung semua tidak akan mendapat email balasan dari saya yang berupa MLM, ataupun meminta wang ringgit. Saya akan memberikan maklumat selanjutnya di laman web manakah yang perlu pengunjung sekelian lawati untuk membaca siri-siri ini secara percuma, asalkan bersetuju dengan beberapa syarat yang ada pada laman web tersebut. Sehingga nota ini ditulis, sudah ada sebanyak 24 tajuk di laman web tersebut, dan bilangannya akan bertambah kelak.

Sekian, terima kasih.

Blog Stats

  • 66,011 hits

Pages