Saya sudah lupa bila Siri Bercakap Dengan Jin mula-mula diterbitkan sebagai siri seram tetap didalam majalah Variasari. Mungkin salah satu caranya ialah untuk melihat bila terbitan pertama jilid pertama siri ini dibukukan. Namun jika saya ingat-ingatkan semula, jilid pertama buku siri ini merupakan sebuah buku yang agak tebal dan kalau tidak silap memuatkan lebih 40 buah siri. Ilustrasi muka depan dan halaman-halaman didalam buku ini agak baik berbanding dengan mutu lukisan dalam terbitan-terbitan yang lebih baru.

Siri ini juga diterbitkan satu siri setiap bulan majalah Variasari diterbitkan, maka boleh lah saya katakan projek saya sekarang sudah ada bahan yang pernah diterbitkan di majalah Variasari yang mengambil masa selama hampir 4 tahun. Satu masa yang agak panjang jika difikir-fikirkan.

Grup peminat siri ini pada ketika nota ini ditulis telahpun ada sebanyak 28 siri. Dengan persetujuan pengendali laman web tersebut yang juga merupakan peminat siri ini, kita akan memuat naik siri-siri ini sedikit demi sedikit, mungkin satu siri seminggu supaya peminat dan ahli grup akan dapat membaca dan menikmati penulisan Tamar Jalis secara beransur-ansur. Dengan cara ini akan memastikan grup sentiasa segar dengan bahan baru dan juga dapat memberi peluang kepada ahli-ahli yang punya siri ini untuk mengimbas dan menaip semula siri-siri yang meraka ada dan memuat naik siri-siri tersebut bersambung-sambung sehinggalah siap.

Saya mendoakan usaha ini akan mengumpulkan ramai ahli dan peminat supaya berkongsi siri-siri yang mereka ada. Pada pendapat saya usaha untuk mengimbas dan menaip semula siri ini dalam bentuk digital bukanlah usaha sukarela yang dibuat untuk menidakkan hak penulis atau penerbit. Kami sebagai peminat tegar siri ini merasakan sukar untuk membeli dan mendapatkan siri ini di kedai-kedai. Alangkah baiknya jika penerbit siri ini, Variapop Group, dapat menerbitkan semula kesemua siri ini, maka tidak lah perlu kami cuba mengumpulkan siri-siri ini untuk kami berkongsi membacanya.

Kepada pengunjung laman web ini yang ingin membaca siri-siri yang telah kami usahakan, disarankan menjadi ahli grup peminat yang saya katakan tadi. Ada beberapa syarat untuk menjadi ahli, yang paling penting sekali ialah berjanji untuk tidak menggunakan bahan siri-siri yang ada di laman web grup untuk tujuan perniagaan, dengan menjual siri-siri ini dalam bentuk terbitan atau pdf. Dan jika mengambil bahan-bahan hendaklah untuk tujuan peribadi dan jika diterbitkan semula ke laman web sendiri (facebook, myspace, etc.), hendaklah memberikan kredit yang perlu. Silalah email kepada saya jika anda ingin menjadi ahli grup ini.

Kami sedar ada seakan dilema mengenai membuat syarat untuk ahli, sedangkan usaha kami mengimbas, menaip semula dan menerbit bahan ke laman web grup bercanggah dengan tatasusila hakcipta penulisan Tamar Jalis selaku tuanpunya yang berhak. Kami tidak bermaksud untuk tidak akur dengan undang-undang hakcipta yang melindungi bahan yang Tamar Jalis tulis, malahan untuk menjadi ahli grup dan membaca siri-siri ini tidak memerlukan yuran atau bayaran. Syarat-syarat menjadi ahli yang kami letakkan pun sebagai salah satu cara untuk membendung ahli dari menggunakan bahan-bahan untuk kepentingan sendiri.

Buku-buku siri ini sudah pupus dari kedai-kedai dan toko buku, samada yang terkemuka, di tepi-tepi jalan mahupun kedai menjual buku terpakai. Saya secara peribadi berpendapat jika penerbit siri ini menerbitkan semula siri ini dalam bentuk buku dalam masa terdekat, saya bersedia untuk tidak lagi mengusahakan projek ini dan terus menyokong laman web peminat Tamar Jalis dalam wadah yang berbeza.

Namun itu hanyalah pendapat saya.