Setelah saya fikir-fikirkan dan dalami semasak-masaknya, akhirnya saya membuat keputusan untuk berkongsi hasil usaha saya yang tidak seberapa ini dengan orang lain. Saya fikir, jika saya bermurah hati kepada orang yang tidak saya kenali secara lahir, maka usaha saya ini akan mendapat balasan yang setimpal dengannya dalam bentuk-bentuk lain.

Seperti yang telah saya tulis sebelum ini, usaha sebegini akan jadi terbantut jika saya tidak dapat bahan-bahan yang saya perlukan. Bahan-bahan yang saya maksudkan ialah beberapa bab dalam Siri Bercakap Dengan Jin yang saya tidak punyai. Siri-siri yang saya punyai dan sedang saya usahakan semacam susunan gigi seorang tua yang rongak. Bergigi, kemudian kosong, kemudian berisi kembali.

Semacam gigi orang tua yang rongak, sudah tentu jika menjamah makanan yang lazat tidak selazat memakannya seperti seorang muda yang penuh susunan giginya. Sama lah juga dengan membaca sebuah novel yang mengikut turutan bersiri – tidak sempurna jalan ceritanya jika terpaksa melompat disana-sini.

Pengunjung budiman yang ingin membaca siri-siri SBDJ ini sudah ada persiaran yang khusus. Silalah hubungi saya di tamarjalis(at)gmail.com  Jangan lupa gantikan (at) menjadi @. Jangan khuatir, pengunjung semua tidak akan mendapat email balasan dari saya yang berupa MLM, ataupun meminta wang ringgit. Saya akan memberikan maklumat selanjutnya di laman web manakah yang perlu pengunjung sekelian lawati untuk membaca siri-siri ini secara percuma, asalkan bersetuju dengan beberapa syarat yang ada pada laman web tersebut. Sehingga nota ini ditulis, sudah ada sebanyak 24 tajuk di laman web tersebut, dan bilangannya akan bertambah kelak.

Sekian, terima kasih.

Advertisement