Koleksi Siri Bercakap Dengan Jin yang telah di olah semula dalam bentuk digital setakat ini sudah mencapai angka 54 siri semuanya, baik di tamarjalis.blogspot.com atau di laman web komuniti di komunitisbdj.multiply.com. Saya rasa koleksi sejumlah itu yang paling banyak bilangannya di alam maya kerana sebelum ini pun sudah ada langkah untuk menulis dan mengolah semula bahan-bahan buku ini dalam bentuk laman web di Geocities, namun bilangan sirinya tidak lah banyak.

Saya bertuah kerana kemampuan untuk terus menerbitkan semula siri ini menurut turutannya tercapai setelah mendapat pertolongan dari beberapa insan yang seperti saya, berminat untuk mendapatkan dan mengumpul semula siri-siri ini. Jika maksud asal saya terbantut di siri yang ke 46, kerana siri seterusnya tiada dalam simpanan, kini saya sudah mendapat bahannya, walaupun dalam bentuk salinan sahaja. Pada saya tidak menjadi soal, asalkan boleh dibaca, diimbas dan di perbetulkan ejaan dan susunannya.

Dengan bekalan bahan yang baru ini saya rasa bolehlah saya meneruskan usaha terbitan semula ini sehingga setakat yang termampu. Seperti yang saya katakan sebelum ini, jika buku ini diterbitkan semula, saya akan berhenti dari menerbitkannya di laman web sebagai menghormati hakcipta penerbit dan penulis asal.

Dalam maksud yang sama, saya telah diberitahu oleh beberapa orang yang bahan-bahan yang saya sediakan di laman web blogspot dan komunitisbdj pernah ada cadangan dari pihak-pihak dan insan tertentu yang ingin menyalinnya dan membuat pdf untuk dijual. Saya ingin jelaskan yang perkara ini saya lihat sebagai satu perkara yang serius, lebih-lebih lagi jika sipolan itu tidak beradab seperti orang Melayu, setidak-tidaknya meminta izin terlebih dahulu.

Saya boleh sahaja meletakkan maklumat bank atau link kepada Paypal dan memohon derma dari pengunjung. Saya rasa jika saya buatkan begitu, paling tidak 10 ringgit saya akan dapat derma dari insan-insan yang pemurah. Namun bukan itu tujuan saya mengadakan halaman dan berusaha bersungguh-sungguh menyediakan bahan bacaan ringan ini. Pertama, saya diberkati dengan rezeki yang murah yang datang dari sumber lain, jadi kalau nak menderma eloklah berikan pada yang berhak. Kedua, jika saya meminta derma itu, waswas saya rasa halal haramnya kerana bahan yang saya usahakan ini milik Tamar Jalis, bukan tulisan saya sendiri.

Seperti yang telah saya jelaskan, saya menerbitkannya semula supaya peminat siri ini dapat membacanya, mengimbau kenangan lama; juga sebagai platform peminat untuk berkongsi bahan-bahan. Bukan untuk membuat wang ringgit darinya. Tegas saya jelaskan, jika siri ini dicetak semula secara lengkap dalam bentuk buku hari ini, esok saya akan tutup laman web ini dan padam semua bahan yang ada di blog saya dan di komunitisbdj.  Begitulah prinsip saya dalam hal ini.

Semoga pengunjung sekelian suka dengan bahan bacaan yang disediakan.

Advertisement