Dalam masa-masa yang agak terluang saya seperti juga orang lain suka berjalan-jalan di alam maya internet membaca hasil tulisan orang lain, begitu juga membaca hasil sembangan orang lain di forum-forum. Salah satu forum yang sering saya kunjungi ialah satu halaman forum tempatan yang banyak disinggahi oleh orang-orang yang semacam saya juga yang banyak masa terluang. Didalam salah satu forum itu yang membincangkan hal ehwal Tamar Jalis dan hasil penulisannya ada tercatat alamat blog saya ini.

Saya banyak menerima email dari peminat siri ini yang bertanyakan bagaimana untuk membaca siri-siri ini. Walaupun banyak kiasan namun mungkin maklumatnya masih belum terang walaupun acapkali sudah disuluh. Mungkin juga pendekatan saya sendiri yang menyukai peminat menulis sendiri kepada saya dan saya balas dengan maklumat lanjut mengenai cara-cara untuk membaca siri ini. Adakalanya saya suka membaca dan ada keinginan untuk mengenali setiap watak yang menulis kepada saya itu, namun saya ini mungkin seperti penulis siri ini tidak berniat untuk dikenali.

Pada suatu hari saya menerima sebuah email dari seorang peminat yang menyangka saya penulis yang sebenarnya, lalu beliau memanggil saya pakcik. Sedangkan setelah beliau melawati halaman Facebook saya barulah beliau sedar yang saya hanyalah peminat sepertinya. Apabila beliau memanggil saya pakcik itu tidaklah saya hiraukan kerana beliau tidak mengenali saya dan hanya berkomunikasi secara maya. Tetapi bagaimana kisahnya jika beliau bertemu saya secara zahir? Adakah beliau akan memanggil saya pakcik juga? Apakah hukum alam yang kita pegang yang memutuskan kita memanggil seseorang itu abang atau pakcik?

Lama saya berfikir dan akhirnya saya pun fahami satu formula yang terbaik. Keputusan kita memanggil seseorang itu abang, pakcik atau tok bergantung kepada umur kita dan umur anak-anak kepada orang tersebut. Sebagai contoh, saya berjalan dikampung halaman saya di Sungai Durian, Hilir Perak dan berhenti di halaman sebuah rumah kampung. Saya lihat seorang lelaki sedang mencangkul tanah dan saya dekati beliau. Dihalaman rumah ada beberapa orang anak kecil dalam linkungan 7 hingga 10 tahun bermain-main. saya berikan salam, dan sebelum saya terus memanggilnya abang, pakcik atau tok, saya perhati dan buka telinga dahulu. Jika kanak-kanak yang bermain itu memanggilnya abah, maka saya tahu, umur saya dan orang lelaki ini mungkin hampir sebaya maka sebagai tanda hormat saya akan memanggilnya abang. Jika orang lelaki itu dipanggil atok oleh kanak-kanak, maka saya memanggilnya pakcik. Dan jika onyang dipanggil, maka atoklah yang saya panggil.

Panggilan yang wajar saya gunakan bergantung kepada umur anak-anak lelaki itu sebagai reference. Jika kanak-kanak dihalaman itu tidak memanggil orang lelaki itu, maka wajarlah saya berkias semasa menegurnya, pura-pura bertanya, “anak ke yang bermain tu?” dan seterusnya tahulah saya apa panggilan yang perlu saya bahasakan untuk lelaki ini. Dan sebagai memastikan formula ini berjaya, pastikan juga diri kita lebih muda dari orang yang kita lawan bercakap. Jika dari segi raut wajah dan gerak-geri umur kami mungkin sama, maka eloklah kita memangilnya abang sahaja sebagai tanda hormat.

Saya rasa eloklah saya nyatakan bagaimanakah untuk membaca siri-siri yang ada. Blog ini hanyalah sebagai penanda sahaja. Blog yang satu lagi, iaitu blogspot ialah blog yang saya buat untuk menyimpan khazanah siri ini dan yang boleh memasukinya hanya saya sahaja. Bagi peminat-peminat yang menulis kepada saya, saya akan anjurkan pergi ke multiply.com.

Di multiply.com terdapat sebuah grup peminat yang dinamakan Komuniti Siri Bercakap Dengan Jin (komunitisbdj.multiply.com). Grup ini hasil usaha beberapa orang peminat dan saya juga menjadi ahlinya. Grup ini bukan saya yang tubuhkan tetapi orang lain yang juga cintakan hasil kerja penulis siri ini dan berusaha untuk mengumpul sebanyak mungkin siri-siri ini dari bentuk buku ke bentuk digital halaman web. Didalam grup tersebut ada ramai yang menyumbang untuk melengkapkan siri ini. Rata-ratanya ramai yang tidak ada langsung buku ini akan tetapi dalam bilangan yang sedikit ada yang mempunyai buku yang apabile dikumpul-kumpulkan bolehlah menyempurnakan koleksinya.

Bagaimana caranya untuk menyempurnakan koleksi apabila dipunyai oleh ramai orang yang duduk di merata tempat? Formulanya ialah dengan berkongsi dan sama-sama menyumbang dalam satu wadah di alam maya, iaitu grup ini. Sehingga kini sudah ada lebih 150 ahli. Menjadi ahli multiply.com adalah percuma, begitu juga untuk menjadi ahli grup komuniti ini. Tuan punya grup malahan saya sendiri tidak meletakkan apa-apa bayaran walau satu sen, samada dalam bentuk Paypal atau top-up prepaid kerana kerja yang kami lakukan ikhlas dan sukarela.

Yang kami perlukan hanyalah kerjasama dari semua ahli supaya sama-sama menyumbang, menulis, mengimbas dan sebagainya demi memenuhkan koleksi siri ini. Dan di masa yang sama, ahli berikrar tidak akan menggunakan bahan-bahan yang dikumpulkan untuk membuat duit di belakang perhatian kami. Jika ada, maka tuan punya grup itu akan membatalkan keahlian secara serta-merta.

Oleh kerana ada masanya saya tidak dapat membalas email peminat yang hendak tahu bagaimana caranya untuk membaca, jadilah ahli multiply dan seterusnya jadi ahli komuniti SBDJ. Setelah anda klik butang menjadi ahli komuniti, tuan punya grup itu akan mendapat notifikasi untuk meluluskan keahlian. Dari beratus yang menulis email kepada saya dan memohon tidak pernah satu pun yang tidak diluluskan. Cuma ada masanya tuan punya grup atau isteri saya sendiri yang dilantik menjadi co-admin tidak ada masa untuk sentiasa memantau grup. Dan oleh kerana saya dan isteri bukan di Tanah Melayu, maka permohonan menjadi ahli di waktu pagi di Malaysia hanya akan kami sedari diwaktu pagi di tempat kami. Jadi diharap bersabar setelah memohon menjadi ahli.

Alhamdulillah setakat ini kerja-kerja mengumpul semula siri berjalan lancar dan setiap hari kita mendapat ahli-ahli yang baru. Ada diantaranya sudah dan akan menjadi penyumbang tetap. Semoga usaha mengumpul semula bahan tulisan Tamar Jalis ini akan berjalan dengan lancar dan mencapai matlamatnya.

Salam hormat dari saya.

p/s: jika ada maklumat yang tuan dan puan perlukan, saya galakkan menulis kepada saya dan saya akan balas secepat mungkin. Boleh memanggil saya pakcik kerana umur saya pun tidaklah muda.

Advertisement