Hidup ini kalau tidak menyambil dan hanya membuat kerja khusus sahaja akan menjadi kehidupan yang monotonous dan tidak ada serba-serbi. Mungkin elok saya utarakan cara saya mendigitize siri Bercakap Dengan Jin yang saya usahakan ini. Ini supaya pengunjung yang tidak putus bertanya mengenai boleh atau tidak saya benarkan isi kandungan dibaca, faham kerja-kerja ini tidaklah mudah dan mengambil masa.

Saya memang mempunyai beberapa naskah buku siri ini, kecuali beberapa yang masih saya cari (sila lihat tulisan saya yang terdahulu). Helaian demi helaian buku saya imbas (scan) menggunakan scanner, dan menerusi kemudahan OCR (Optical Character Recognition) yang sedia ada dengan pengimbas, setiap huruf yang diimbas dipindahkan secara digital ke dokumen Word.

Proses ini tidak terhenti setakat itu sahaja. Oleh kerana OCR yang saya gunakan menggunakan Bahasa Inggeris secara default, perisian OCR tersebut selalunya akan memindahkan huruf dan ayat yang salah. Ditambah pula jilid siri yang saya miliki ialah jilid yang telah di ulang cetak berkali-kali, banyak perkataan dan susunan ayat yang telah bercampur-aduk dan mempunyai banyak kesalahan dan jalan cerita kadangkala terganggu olehnya.

Oleh kerana ada banyak pembetulan yang diperlukan, maka kerja nya bukanlah mengimbas dan kemudian pindahkan ke blog sahaja. Banyak kerja-kerja pembetulan yang diperlukan.

Sambil membuat pembetulan, saya telah melayari halaman-halaman web dan telah terjumpa dengan satu halaman sembang bergelar Tranungkite. Didalamnya beberapa orang telah menceritakan yang penulis siri ini yang sehingga kini tidak diketahui siapa telah meninggal dunia. Penulis yang dikatakan menulis siri ini, Allahyarham Abdul Jalil Miran telah kembali ke rahmatullah pada 13 haribulan Oktober 2008 merupakan penulis cerita-cerita seram dan wartawan majalah.

Ada seorang lagi telah menulis dan mengakui kenal kepada penulis sebenar yang mengguna nama pena “Tamar Jalis”, dan beliau mengatakan penulis sebenar berusia 70 tahun lebih, tinggal di Bruas dan tidak mahu dikenali.

Pernah juga saya membaca di halaman lain dimana penulis ruangan sembang yang mengatakan siri Bercakap Dengan Jin ini ditulis oleh beberapa orang penulis, dan bukan khusus kepada seorang sahaja. Salah seorang penulis yang disebut ialah Osman Wok.

Walau apa pun kisahnya, naskah-naskah siri ini agak sukar ditemui sekarang, dan jika tidak ada usaha untuk mengulang cetak, maka siri ini akan terkubur dan dilupai.

Seperti yang saya tulis sebelum ini, saya memohon maaf kepada pengunjung yang ingin membaca isi kandungan siri ini yang telah saya olah semula dalam bentuk digital. Sebagai menghormati usaha penulis siri ini yang masih belum dikenali dan tidak mahu dikenali, saya akan teruskan usaha saya. Mengenai isi kandungannya samada akan dibuka untuk bacaan umum atau tidak, biarlah saya sempurnakan kerja-kerja ini dahulu dan saya fikirkan kemudian.